Skip to main content

Amanah pendidik

Assalamualaikum dan salam penuh ukhwah.

Sambutan hari guru baru sahaja berlalu.  Saban tahun disambut dengan begitu meriah dan bagi saya disambut dengan cara yang agak berlebih-lebihan.


sedikit perkongsian yang saya ambil dari http://mrscd.wordpress.com/2008/03/23/pendidik-dalam-islam/

MUKADIMAH
  Para Nabi a.s adalah seafdal-afdal makhluk di sisi Allah s.w.t dan diikuti oleh Ulama’ (ahli ilmu) kerana Ulama’ itu ialah pewaris para Nabi. Para Nabi a.s tidak mewariskan mereka dengan dinar atau dirham akan tetapi dengan ilmu. Rasulullah s.a.w adalah pendidik yang teragung. Baginda mendidik umatnya melalui Al-Quran dan As-Sunnah. Allah s.w.t berfirman: “Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat engkau dan mengajarkan kepada mereka Al-Kitab (Al-Quran) dan Al Hikmah (As-Sunnah) serta mensucikan mereka. Sesunguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”. (Surah Al-Baqarah : 129)

  Oleh itu adalah menjadi kewajipan kepada para ulama’ (ahli ilmu) untuk meneruskan tugas mendidik ummah.  Pada umumnya orang memahami bahawa seorang pendidik itu ialah seorang yang terlibat dengan kerja-kerja pendidikan atau pengajaran. Dengan ertikata lain seseorang yang terlibat dengan kerja-kerja pengajaran ilmu pengetahuan sama ada di sekolah, maktab, universiti, surau, masjid, pondok atau madrasah. Proses pendidikan itu juga berlaku di mana-mana seperti di rumah, tempat permainan dan sebagainya. Oleh yang demikian tugas mendidik itu bukan hanya menjadi taggungjawab guru di sekolah malah mereka yang terlibat sama ada secara formal atau tidak formal, terutama sekali ibu bapa atau penjaga murid itu sendiri.

DEFINISI PENDIDIK
  Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, pendidik ialah guru, pengasuh, wali, pemimpin pengelola, pelatih, penyelenggara, pengajar dan pemelihara.
Mengikut istilah yang digunakan oleh sarjana-sarjana Islam guru atau pendidik ialah murabbi, muallim, muaddib, ustaz, mudarris, mursyid atau ulama. Semua istilah-istilah yang digunakan bersal dari Bahasa Arab dan pada dasarnya istilah-istilah tersebut mempunyai maksud yang sama iaitu memberi pengajaran atau pendidikan. Namun terdapat beberapa pandangan yang bebeda mengenai penggunaan istilah tersebut. Ini tergantung kepada bidang ilmu yang dipelajari. Seperti istilah Ustaz dan Mudarris, dalam masyarakat Melayu, Ustaz dan Mudarris dikhususkan kepada mereka yang mengajar pelajaran agama Islam di sekolah, madrasah, masjid, pondok dan sebagainya.

  Istilah Muallim juga bermaksud pengajar, lebih menjurus kepada seorang pengajar (tidak terhad kepada guru sekolah) yang mencurahkan ilmu pengetahuan untuk anak didiknya, dan kadang kala digunakan dalam ertikata pemimpin. Berbeza dengan Murabbi, seorang Muallim lebih menumpukan kepada ilmu akal. Sementara Murabbi membawa maksud yang luas, melebihi tahap Muallim. Konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa yang sama cuba mendidik rohani, jasmani dan mental anak didiknya untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Justeru, Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya.

  Istilah mursyid bermaksud memberi tunjuk ajar. Mursyid secara istilahnya (menurut kaum sufi), merupakan mereka yang bertanggungjawab memimpin murid dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah s.w.t dalam proses tarbiah yang teratur, dalam bentuk tarekat sufiyah. Para Mursyid dianggap golongan pewaris Nabi s.a.w. dalam bidang pentarbiah umat dan pemurnian jiwa mereka (tazkiyah an-nafs), yang mendapat izin irsyad (izin untuk memberi bimbingan kepada manusia) dari para mursyid mereka sebelum mereka, yang mana mereka juga mendapat izin irsyad dari mursyid sebelum mereka dan seterusnya, sehinggalah silsilah izin irsyad tersebut sampai kepada Rasulullah s.a.w. (tanpa terputus turutannya). Oleh itu pada kebiasaannya, ia daripada keturunan Ulama.

Guru-guru pada zaman Abbasiyah digolongkan kepada tiga kategori:
i) Mualim  - Golongan guru sekolah rendah yang diberi tugas mendidik ilmu-ilmu asas Islam seperti Al-Quran, Ibadah, Akidah dan Ilmu  Akhlak.
ii) Mu’adib - Guru khas yang bertanggungjawab mengajar sekolah khas. (Istana Khalifah)
iii)Ustaz    -  Pensyarah di sekolah tinggi (maktab). (Ghazali Darussalam, 2001) 
 
  Guru ialah segolongan orang yang menjalankan tugas ikhtisas sebagai pendidik dan pemimpin. Mereka boleh mencorakkan masa depan masyarakat dan dapat menentukan untung nasib sesebuah bangsa. (Ahmad Mohd.Salleh.2003).  Guru adalah salah satu faktor yang sangat penting dalam pendidikan dan pengajaran, kerana gurulah yang akan bertanggungjawab dalam membentuk peribadi seorang murid (H Syamsul Bahri Tanrere, 1993).

  Oleh itu para guru atau pendidik mestilah sedar akan tanggungjawab mereka dan sentiasa menjaga nama baik mereka sebagai pendidik dan pemimpin masyarakat dengan menjalankan segala tugas dan tanggungjawab secara ikhlas dan jujur.

PENDIDIK DALAM ISLAM
  Pendidik di dalam islam adalah meliputi hal keduniaan dan akhirat sama ada pendidik itu menyampaikan Ilmu Fardhu Ain atau Ilmu Fardhu Kifayah. Sebagaimana menurut Imam Ghazali bahawa ilmu itu dibahagikan kepada Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah.Sistem pendidikan Islam memperimbangkan tawazun antara kepentingan individu dengan kepentingan ummah melalui konsep Ilmu Fardhu Ain dan Fardhu Kifayah. Demikian juga dalam kaedah fiqih terdapat konsep maslahah ummah (kepentingan ummah) dan maslahah ammah (kepentingan awam) di samping pengakuan Islam terhadap maslahah fardi atau khassah (kepentinan individu). (Ghazali Basri, Jurnal Pendidikan Islam, Desimber 1987).Hal ini juga dapat dilihat di dalam kitab Adab Al Mu’allimin di mana Ibnu Sahnun telah membahagikan kurikulum pendidikan di Al Kuttab kepada kurikulum wajib (ijbari) dan kurikulum pilihan  (ikhtiyari). 

  Bagi kurikulum wajib para pendidik akan mengajarkan al-Quran, Hadis Nabi dan Fiqih sementara bagi kurikulum pilihan pelajaran yang diajarkan ialah; Ilmu Hitung, Syair, al-Gharib (kata-kata sulit), Bahasa Arab dasar dan Kaligrafi serta Ilmu Nahu. Menurut Imam Ghazali illmu Fardhu Kifayah itu terbahagi kepada ilmu Syari’ah dan bukan Syari`ah. Ilmu Syari`ah ialah ilmu-ilmu yang diperolehi dari Nabi s.a.w. Sementara ilmu bukan Syari`ah pula ialah ilmu-ilmu yang terpuji, iaitu ilmu-ilmu yang ada hubungan dengan kepentingan duniawi dan untuk kemaslahatan ummah, seperti ilmu kedoktoran dan sebagainya yang mana ilmu berkenaan menjadi keperluan bagi sesebuah negara.   

  Seorang pendidik haruslah memahami bahawa Islam adalah ad-Din bukan sekadar aqidah dan peribadatan seperti sembahyang puasa menunaikan zakat dan naik haji tetapi suatu sistem hidup nizam al-hayat yang serba mencakup sama ada dari segi hubungan manusia sesama manusia atau di antara manusia dengan tuhannya dan hubungan manusia dengan alam sekelilingnya sama ada yang berbentuk spiritual atau material. Pendidik bukan sahaja berperanan untuk memberi kesedaran kepada diri sendiri, malahan juga untuk masyarakat tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan hukum Allah s.w.t. 

  Islam memberi penghormatan yang tinggi kepada ahli-ahli ilmu. Allah berfirman yang  bermaksud:  “Sesungguhnya  yang takut kepada Allah antara hambanya ialah ulama’”. (surah Faathir: 28).Dan  Rasulullah s.a.w bersabda:  “Ulama’ ialah pewaris para nabi”.Kedua-dua nas di atas jelas membuktikan bahawa Islam memberi penghormatan kepada ahli ilmu. Mereka mempunyai sifat ketakwaan kepada Allah s.w.t hasil daripada ilmu yang diwarisi daripada para nabi a.s. Tugas menyampaikan amalan keilmuan ini terletak pada pendidik. Melalui ilmu sahajalah kita dapat menimbulkan kesedaran manusia terhadap Allah dan dapat membezakan sesuatu yang hak dan batil.

Mendidik adalah amanah Allah s.w.t
 Nabi Muhammad s.a.w selalu menganjurkan para sahabatnya untuk menyampaikan apa yang pernah mereka dengar, supaya dimanfaatkan oleh generasi-generasi berikutnya di mana sahaja. (Dr.Yusuf Qardhawi, 1996). Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: “Sampaikanlah olehmu yang datang dariku meskipun hanya satu ayat”. Dinulhayah Islam adalah sebagai cara hidup yang lengkap dan sempurna dan Islam adalah agama untuk pendidikan hidup. Oleh itu orang yang pertama sekali bertanggungjawab dalam mendidik ialah ibu bapa atau penjaga anak-anak. Kedudukan dan peranan ibu bapa adalah soal yang paling utama dalam Islam. 

  Rasulullah s.a.w bersabda:“semua kanak-kanak dilahirkan suci, tetapi ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”.Hadis ini menjelaskan bahawa ibu bapa berkewajipan dan berperanan mengasuh, membentuk mendidik dan memimpin anak-anak menjadi orang yang mulia di sisi Allah S.W.T, bangsa dan Negara. Pendidikan adalah proses yang berterusan seumur hidup. Pendidikan tidak akan terjejas atau tergugat oleh batas-batas masa, tempat dan nilai-nilai kemasyarakatan. Sejak dari kelahiran kita ke dunia, hinggalah kita kembali menemui Tuhan, proses pendidikan tetap berterusan dan diperlukan. (Tajul Ariffin Noordin. 1990).

  Setelah ibu bapa, orang kedua yang bertanggungjawab dalam mendidik adalah guru. Walau bagaimanapun ibu bapa tidak boleh meletakkan tugas mendidik anak-anak kepada guru semata-mata. Islam sendiri meletakan setatus ibu bapa itu lebih tinggi daripada guru-guru dalam urusan mendidik anak. Para pendidik harus sedar bahawa tugas menyampaikan ilmu adalah amanah Allah dan bukan suatu tugas yang ringan. Ia merupakan satu tanggungjawab besar dalam membina perkembangan manusia. Oleh itu, mereka perlu berhati-hati dalam menjalankan tugas. 

  Rasulullah s.a.w bersabda:“Sesiapa yang mengasaskan jalan yang baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatat baginya pahala sebagaimana pahala orang yang mengikutinya, dengan tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya. Dan sesiapa yang mengasaskan jalan tidak baik dalam Islam, maka diamalkan orang, dicatatkan baginya dosa sebagaimana dosa orang yang melakukannya dengan tidak dikurangkan sedikit pun dosanya”. Hadis ini menjelaskan mengenai tanggungjawab dan kedudukan pendidik atau guru dalam konteks keagamaan. Mereka bertanggungjawab di hadapan Allah s.w.t terhadap ilmu yang disampaikan dan kesan daripada penyampaian itu terhadap orang lain pada hari kiamat. 

  Jika kesedaran keagamaan seumpama ini wujud dalam setiap diri pendidik, maka sudah tentu pendidik itu akan berhati-hati dalam merancang kurikulum dan bidang keilmuan. Ini kerana usaha itu bukan berakhir di situ sahaja, tetapi dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t pada hari kemudiannya.Pendidik haruslah berkemampuan membina keunggulan sahsiah pelajar-pelajarnya dan keunggulan suasana pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai keseimbangan antara pengahayatan agama dan moral, dengan kemahiran dalam pengurusan hidupnya.

Bidang perguruan pada pandagan Islam
  Untuk mengetahui sejauhmana pentingnya profesion tersebut dalam Islam, Al-Quran dan hadis ada menjelaskan antaranya, Allah s.w.t  berfirman: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik”. (Surah an-Nahl: 125).Dan  Rasulullah s.a.w bersabda: “Bahwasanya jika kamu mengajar seseorang, lalu dia mendapat kebajikan yang lebih berharga daripada dunia dan segala isinya”.Jika diteliti maksud ayat al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w yang diutarakan di atas, menunjukkan dengan jelas akan keutamaan-keutamaan mengajar khususnya dalam profesion perguruan.

  Seorang pendidik mestilah menyedari hakikat bahawa pengajaran itu merupakan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan. Ia hendaklahlah meletakkan tanggungjawab ini di atas dasar pahala dan dosa. Kerja pengajaran adalah sebahagian amal soleh manakala enggan menyampaikannya dosa yakni siksaan api neraka. (Ghazali Basri, Jurnal Pendidikan Islam, Desimber 1987). Jika dilihat dari sudut sejarah dan budaya, guru atau pendidik adalah dianggap sebagai profesion yang mulia. Sejarah menunjukkan hubungan di antara istana dengan tuan guru. Ulama’ dan guru adalah rapat dan dimuliakan berbanding dengan jawatan-jawatan lain. Dari segi budaya, konsep berguru amat diutamakan. Belajar bukan setakat untuk mendapatkan ilmu, apa yang lebih penting ialah berguru untuk membina akhlak dan adab berilmu.(Dr.Tajul Ariffin Noordin & Dr.Nor’ Aini in Noordin & Dr.Nor’ Aini Dan, 2002).

Sifat-sifat pendidik menurut Islam
  Pendidik dalam pendidikan Islam adalah sebagai mediator bagi anak-anak untuk mengikuti gaya Islami yang tercermin pada diri Nabi Muhammad s.a.w (Dr. Gamal  Zakaria, 2002)Para pendidik wajiblah membentuk keperibadiannya yang luhur. Pendidik adalah qudwah (kepemimpinan) dan juga uswah (model) yang baik yang sering ditonton oleh anak-anak didiknya maka seorang pendidik tidak akan menganjurkan sesuatu jika ia sendiri tidak melaksanakannya kerana ia menyedari tentang kemurkaan Allah (dosa) jika ia sendiri tidak melaksanakan apa yang ia ucapkan.Oleh itu para pendidik perlulah menghiasi diri dengan  sifat-sifat yang terpuji sesuai dengan sifatnya yang paling mulia di dalam Islam. Dr. Abdul Halim al Muhammady menyenaraikan lapan sifat yang wajib dimiliki oleh pendidik, iaitu:
  1. Sifat Zuhud (mendidik kerana mencari keredaan Allah). Sifat Zuhud bermakna menyampaikan pelajaran bukan kerana belasan kebendaan atau penghormatan masyarakat, tetapi kerana mencari keredhaan Allah. Namun Ini bukan bermakna kita tidak boleh menerima ganjaran dari usaha itu. Kemuncak matlamat kerja yang dilakukan seharusnya tidak diukur dengan pencapaian kebendaan kerana itu akan membahayakan peningkatan diri dan pencapaian orang yang berada di bawah didikannya.
  2. Kebersihan diri. Sebagai pendidik hendaklah menjauhkan diri dari kekotoran sifat-sifat mazmumah seperti bersifat angkuh, riak, hasad, pemarah dan dari kekotoran syara’ yakni melakukan perkara-perkara dosa besar dan yang diharamkan oleh Islam.
  3. Keikhlasan dalam bekerja, termasuklah juga sifat dedikasi.
  4. Mempunyai sifat halim, iaitu sifat lemah lembut, sopan santun, tidak lekas berang.
  5. Menjaga kehebatan dan kehormatan diri, yakni tidak melibatkan diri dengan suasana  yang boleh menjatuhkan peribadi dan maruahnya sama ada dari segi pakaian , perbuatan dan percakapan.
  6. Perlu merasa dirinya sebagai bapa dalam menghadapi muridnya.
  7. Hendaklah memahami tabiat murid-muridnya dan.
  8. Mempunyai ilmu pengetahuan yang luas (Dr.Abdul Halim Al-Muhammady, Jurnal Pendidikan, Disember 1986).
 Pendidik yang efektif  
Imam Ghazali telah menyatakan tujuh ciri pendidik yang efektif, merangkumi aspek kualiti dan tugas pendidik yang cemerlang:
1) Mempunyai rasa belas kasihan kepada murid-murid dan memperlakukan mereka sebagai anak sendiri. Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya aku ini bagimu adalah seumpama seorang ayah bagi anaknya”. Rasa belas kasihan seperti ini hanya akan wujud jika pendidik melaksanakan tugas dengan tujuan akhirat.
2) Mengikut tingkahlaku dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w dan tidak minta imbuhan atas perkhidmatan yang diberinya.
3) Tidak menasihati atau membenarkan muridnya melaksanakan sesuatu tugas atau mempelajari suatu tingkat sebelum berhak pada tingkat itu.4)      Menasihati murid-muridnya supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut atau kasih sayang, bukan memarahi mereka atau mengejek.
5) Tidak sesekali merendahkan mata pelajaran atau ilmu yang lain di hadapan muridnya.
6) Hendaklah pembelajaran bersesuaian dengan tahap pemahaman murid dan tidak sesekali memaksa mereka mencapai sesuatu di luar kemampuan.
7) Menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid khususnya murid yang kurang pintar.

  Ciri-ciri di atas jelas menunjuk bahawa pendidik yang efektif itu perlulah mempunyai disiplin yang tinggi dalam pendidikan sama ada dari segi sahsiahnya, ilmu pengetahuannya dan pedagogi pendidikannya. Salah satu ciri yang dinyatakannya ialah seorang pendidik itu perlu mengajar sesuatu secerca berperingkat. Hal ini adalah berkaitan dengan metod atau kaedah pengajaran. Sehubungan itu Ibnu Khaldun  ada mengungkapkan  tiga langkah metod pengajaran:
1. Hendaklah diajarkan kepada murid pengetahuan yang bersifat umum dan sederhana, khusus berkenaan dengan pokok bahasan yang dipelajari. Pengetahuan ini hendaklah disesuaikan dengan taraf kemampuan intelektual murid, sehingga tidak berada di luar kemampuannya untuk memahami. Hendaklah murid belajar pada tingkatan pertama atau paling sederhana. Sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Khaldun “Ketika itu tercapailah suatu malakah baginya di dalam ilmu itu, meskipun bersifat lemah”. Ibnu Khaldun memandang langkah ini sebagai langkah pendahuluan bagi langkah kedua.

2. Pendidik kembali mengajarkan pengetahuan tersebut kepada anak didiknya dalam taraf yang lebih tinggi dengan memetik intisari pelajaran, keterangan dan penjelasan yang lebih khusus. Dengan demikian pendidik dapat mengantarkan anak didiknya kepada taraf pemahaman yang lebih tinggi, sebagaimana dikatakan oleh Ibnu Khaldun “maka menjadi baiklah malakahnya”.

3. Pendidik mengajarkan pokok bahasan tersebut secara lebih terperinci dalam konteks yang menyeluruh, sambil memperdalam aspek-aspeknya dan menajamkan pembahasannya. Tidak ada lagi yang sulit dan penting yang tidak diterangkan. Begitu suatu ilmu selesai dipelajari, maka ilmu itu telah menjadi malakahnya. Walau bagaimanapun Ibnu Khaldun mengatakan sebahagian anak didik yang cerdas kadangkala hanya memerlukan dua langkah sahaja di dalam mengajar mereka, terutama jika pendidik berkemampuan tinggi. Di sini jelas bahawa pendidikan Islam itu hendaklah diajarkan secara berperingkat. Oleh itu sukatan pelajaran yang disediakan haruslah mengambil kira tahap dan kemampuan murid agar setiap pelajaran yang diajarkan dapat dikuasai oleh murid dengan baik.

KESIMPULAN
   Kedudukan pendidik menurut Islam adalah mulia kerana mereka adalah penerus tugas Nabi s.a.w dalam menyampaikan ilmu dengan berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnahnya. Oleh yang demikian para pendidik wajiblah membentuk keperibadian yang luhur dan memiliki sifat-sifat yang terpuji sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam kerana pendidik adalah qudwah  dan juga uswah yang baik bagi anak-anak didik.Islam menjelaskan bahawa ibu bapa atau penjaga berperanan penting dalam mendidik anak-anak mereka, kerana merekalah yang mencorakkan kehidupan anak-anak mereka. 

   Ibu bapa berkewajipan dan berperanan mengasuh, membentuk mendidik dan memimpin anak-anak menjadi orang yang mulia di sisi Allah S.W.T, bangsa dan Negara. Peranan guru sebagai pendidik juga tidak kurang pentingnya, mereka diamanahkan oleh ibu bapa untuk mendidik, mengajar, membimbing dan mengembangkan fitrah (malakah) anak didik mereka. Oleh yang demikian pada umumnya tugas mendidik itu adalah menjadi tanggungjawab bersama, sama ada secara formal atau tidak formal khusnya bagi ahli-ahli ilmu, kerana tugas ini juga merupakan amanah Allah s.w.t. 

BIBLIOGRAFI 
1) Al-Quran dan Terjemahannya (Indonesia) . Madinah Al-Munawwarah. Kerajaan Arab Saudi.
2) Ahmad Mohd. Salleh (2003), Pendidikan Islam, Falsafah dan Kaedah Pengajaran Pembelajaran. Oxford Fajar. Selangor Darul Ehsan, Malaysia. 
3) Dr Abdul Halim Muhammady (Tahun 1 Bil. 4. Disember,1986)., Peranan Guru Dalam Pendidikan Islam, Jurnal Pendidikan Islam, Biro Pendidikan , Angkatan Belia Islam Malaysia. Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
4) Dr. Gamal Zakaria (2002). Ibnu Sahnun, Mutiara Pendidik Muslim. Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akademik, Kolej Islam Darul Ehsan. Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
5) Dr. Yussuf Qardhawi (1996). Keutamaan Ilmu dan Kemuliaan Para Ulama’. Terjemahan M. Junaidi Al-Hashim. Perniagaan Jahabersa. Johor Baharu, Malaysia.
6) Ghazali Basri, (Tahun 2 Bil 6 Disember 1987). Peranan Pendidik, Peranan Pendidik Dalam Pembentukan Ummah, Jurnal Pendidikan Islam, Biro Pendidikan , Angkatan Belia Islam Malaysia. Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
7) Ghazali Darusalam (2001). Pedagogi Pedidikan Islam. Utusan Publication & Distributors. Kuala Lumpur, Malaysia.
8)  Imam Al-Ghazali (1990). Ihya’Ulumiddin Juz 1. Darul Khair.
9) Imam Al-Ghazali (1980). Ihya ‘Ulumiddin Jelid 1. Terjemahan TK. H.Ismail Yakub. Perc. Menara Kudus. Indonesia.
10) Prof. Fathiyyah Hasan Sulaiman (1987). Pandangan Ibnu Khaldun Tentang Ilmu dan Pendidikan. Universiti ‘Ain Syams Mesir. Maktabah Nahdlah Mesir,
11) Prof. Madya. Dr. Tajul Ariffin Noordin (1990). Pendidikan Suatu Pemikira Semula. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.
12) Prof. Madya. Dr. Tajul Ariffin Noordin dan Prof. Madya. Dr Nor’ Aini Dan (2002). Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Pendekatan Bersepadu, As-Syabab Media, Selangor Bangi Darul Ehsan, Malaysia.
13)  Syamsul Bahri Tanrere (1993). Bimbingan Mengajar Bagi Calon Guru Ugama. Universiti Brunei Darussalam.14)  Haji Zainal Abidin Safarwan (1995). Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Perpstakaan Negara Malaysia

Comments

Popular posts from this blog

Bila kerja bertimpa-timpa

  Beberapa minggu lagi saja (mungkin lagi 2 minggu rasanya) sesi kuliah akan membuka tirai. Maknanya bagi saya dan rakan yang lain dalam 1-2 bulan ini berbagai amanah tugas perlu diselesaikan, terutamanya berkaitan pendokumentasian bahan-bahan kerja dan pencapaian pada semester lepas. Pada masa ini juga, berbagai bengkel bagi pemantapan kerjaya akan diadakan oleh pihak berkaitan.    Pada masa yang sama kena pandai-pandai cari masa untuk menulis bahan penulisan ilmiah (atau dalam bahasa mudah journal). Kadang nampak luaran macam santai saja kerjaya pensyarah ini, tapi hakikatnya banyak beban tugasan yang perlu dilaksanakan disamping amanah hakiki mengajar anak bangsa. Untuk mingu ini saya baru sahaja menyiapkan tugasan E-TP, E-CF, OBE, dan bahan mengajar bagi semester hadapan. 4 kelas tutorial dan 1 kelas amali.    On going sedang menyiapkan QBS template. Sudah ini dinamakan amanah, jom kita enjoy dengan apapun tugasan yang diamanahkan pada kita. Mo...

Pekan Rabu, Kedah

Saya sukakan Pekan Rabu yang terdapat di negeri Kedah (eh! tempat lain ada pekan rabu ke ekk?). dari kecil, remaja, anak dara, mak dara sampai bila-bilapun Pekan Rabu tetap di hati. Actually Pekan Rabu cuma merupakan sebuah bangunan yang didirikan untuk para peniaga tempatan (terutama Melayu, memang majoriti Melayu pun) berniaga, memasarkan hasil jualan mereka. Kebanyakkan hasil jualan adalah terdiri daripada makanan, seperti kuih-muih lama (traditional), ikan pekasam (famous di sini), jeruk buah-buahan, baju melayu (jahitannya sangat kemas), baju kurung, barangan kraftangan dan pelbagai lagi. Hem! bak kata pepatah baru, "macam-macam ada!". Bercerita tentang kepuasan hati pelanggan. Sebagai pelanggan yang sangat cerewet (sayalah tu...). Bagi makanan traditional, dodol yang dijual adalah yang terbaik bagi saya (bagi zon utara). Lemak santannya, manis gula kabungnya, lembut teksturnya, memang tak boleh nak lawan. Kuih-muih traditional yang lain pula seperti putu beras, ba...

citer hari ke 6 raya 2011

Masih dalam mood raya lagi ke?? Jujur raya kali ini saya cuma merasakan kemeriahan raya pada malam raya sahaja, di mana dikala itu suara takbir raya kedengaran sayu diperdengarkan di stesen2 TV dan radio.  Bila pulang ke kampung (ala... sepelaung je dari rumah saya, adalah dalam anggaran 45 minit jauh perjalanan dari umah saya ke kampung).  Memang terasa pilu, sebabnya sepanjang perjalanan kami melewati kawasan perumahan, jalan utama (highway) dan kemudiannya menyusuri kawasan perkampungan (yang dah tentunya siap terpasang lampu2 panjut dan ada surau dan masjid yg mengalunkan takbir); peh! time tu memang rasa cam naak meraung menyembah kaaki ayahbonda. Keesokkan harinya, di pagi raya, kemeriahan itu semakin terhakis.  Don't know why? padahal rumah ibu di kampung seberang jalan aje, tersergam masjid.  Sepatutnya kemeriahan itu amat terasa.  Tapi tidak, tidak bagi saya.  Sebab pertamanya ialah biarpun masjid cuma seberang jalan aje dari rumah saya, suar...