Skip to main content

Gastrik boleh puasa juga tau.....

Gastrik boleh puasa

Ini penyakit bermusim.  Bila puas je dia timbul, habis puasa lenyaplah ia.  Satu alasan yang selalu diguna pakai oleh sang pemonteng puasa nie.  Jadi untuk anda yang ada penyakit nie atau sekadar inginkan pengetahuan mengenainya mungkin artikel ini dapat membantu anda.

TIDAK sampai dua minggu kita akan menyambut kedatangan Ramadan. Ketika inilah ramai wanita berusaha bersungguh-sungguh menggantikan puasa yang tertinggal tahun lalu supaya tidak dikenakan denda (fidyah).  Walaupun Islam menyarankan supaya penggantian puasa ini dilakukan seawal mungkin, tetapi tindakan pada saat akhir ini masih ada kelebihannya. Setidak-tidaknya ia boleh melatih perut (dan badan) untuk bersedia menempuh puasa sebulan.

Mungkin ada yang tersenyum, kenapa orang dewasa juga perlu berlatih puasa, bukankah ia biasanya dilakukan kanak-kanak? Betul, kanak-kanak dilatih puasa ketika Ramadan, tetapi orang dewasa berlatih sebelum Ramadan menjelma supaya mereka boleh menjalankan rukun Islam ketiga ini dengan sempurna. 
Soalnya, siapa yang perlu berlatih puasa? Antara kumpulan yang disarankan berlatih puasa pada bulan Syaaban ialah individu yang ada masalah gastrik, kencing manis atau mereka yang lemah melawan godaan minuman dan makanan. 


Perunding Pembedahan Gastrointestin Pusat Perubatan Tropicana, Dr Kwan Keat Leong pernah berkata, individu yang ada gastrik sepatutnya boleh berpuasa tanpa sebarang masalah jika mengamalkan kaedah pemakanan seperti disarankan agama dan pakar pemakanan iaitu melambatkan bersahur, menyegerakan berbuka dan makan secara sederhana. 


Tanda gastrik mudah dikesan kerana ia menyebabkan ketidakselesaan pada perut. Antaranya sakit perut (pada bahagian atas perut atau abdomen), perut rasa senak, berangin atau pedih, tidak selesa, kembung, sendawa berulang kali dan kerap kentut selepas makan, loya dan muntah, hilang selera makan dan pada peringkat teruk, ia boleh menyebabkan berat badan menurun.  Secara semula jadi, sel perut kita menghasilkan asid hidroklorik (dengan pH1 hingga pH2) yang mencerna makanan. Asid ini kuat dan jika terkena tangan, kulit akan terhakis.


Sel perut menghasilkan lapisan mukosa (lapisan pertahanan) sebagai pelindung daripada kesan asid hidroklorik ini.  Pengeluaran atau rembesan asid hidroklorik berlaku apabila ada makanan untuk memulakan proses pencernaan dan gastrik berlaku apabila tiada keseimbangan antara kuantiti rembesan asid hidroklorik (terlalu banyak) dengan kekuatan lapisan pertahanan (menjadi lemah).  Jika lapisan pertahanan ini menjadi lemah, ulser berlaku kerana asid hidroklorik boleh sampai ke sel dan menyebabkan keradangan.  Jika orang mengadu sakit perut ketika lapar, ia menandakan asid hidroklorik terlalu banyak dalam perut dan sebaliknya, jika sakit perut selepas makan, ia mungkin menandakan masalah ulser perut kerana lapisan mukosa lemah.

Ramai beranggapan serangan gastrik lebih kerap berlaku pada Ramadan kerana apabila tiada makanan, tahap keasidan dalam perut bertambah.   Anggapan ini kurang tepat. Apabila kita berpuasa, keseluruhan sistem penghadaman berehat, yang bermakna rembesan asid hidroklorik dalam perut akan menurun. Jadi seharusnya tidak timbul masalah sakit atau senak akibat keasidan perut yang tinggi.  Sakit perut sewaktu berpuasa bukan disebabkan gastrik, tetapi tabiat makan seseorang apabila berbuka. Pesakit harus makan sedikit demi sedikit secara berperingkat-peringkat apabila berbuka supaya perut yang sehari berehat tidak ‘terkejut’.   Cara terbaik untuk berbuka ialah memulakan dengan makanan ringan seperti kurma, sedikit kuih atau buah-buahan, berehat seketika dengan menunaikan solat Maghrib dan baru diambil makanan lebih berat.

Malangnya apabila tiba waktu berbuka, ramai yang memulakan suapan dengan makanan berat dan bersifat kompleks yang boleh menyebabkan masalah ketidakhadaman. Makanan yang kompleks (contohnya mengandungi banyak rempah, lemak dan pedas) boleh menjejaskan kelancaran sistem pencernaan dan tidak hairanlah ramai mengadu sakit perut selepas berbuka.  Kumpulan kedua, pesakit kencing manis. Latihan untuk pesakit kencing manis lebih kompleks kerana ia berbeza mengikut keadaan setiap orang. Cabaran utama yang dihadapi pesakit kencing manis setiap kali Ramadan ialah hipoglisemia (paras gula darah terlalu rendah), hiperglisemia (paras gula darah terlalu tinggi) dan dehidrasi (kekurangan air) sehingga boleh menyebabkan pesakit pengsan dan koma dan ia boleh berlaku pada bila-bila masa.

Namun ini bukan bermakna pesakit kencing manis tidak boleh berpuasa. Kajian menunjukkan pesakit kencing manis masih boleh berpuasa jika penyakit mereka dalam keadaan terkawal iaitu paras gula dalam lingkungan 5.8 mmol/liter.  Puasa adalah ibadat dan amalan baik untuk pesakit kencing manis, terutama yang turut ada masalah berat badan berlebihan. Bagaimanapun, beberapa garis panduan perlu dipatuhi sebelum seseorang pesakit dibenarkan berpuasa supaya ibadat itu tidak memudarat dan mengancam nyawa.
Bagi pesakit kencing manis yang masih belum membuat sebarang latihan, gunakan baki Syaaban ini dengan sebaik-baiknya. Segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan panduan khususnya mengenai jadual pengambilan ubat atau suntikan insulin.


Doktor mungkin perlu mengubah suai dos ubat atau insulin serta jadual pengambilannya. Ini kerana pesakit yang mengambil ubat makan harus berbuka puasa dengan makan ubat dan minum air terlebih dulu. Selepas 15 minit, baru diikuti dengan nasi atau makanan berat lain.  Ubat yang diambil pada sebelah pagi (ketika tidak berpuasa) ditukar ke waktu berbuka manakala ubat yang diambil sebelum makan malam pula perlu diambil sebelum bersahur. Pengubahsuaian dos ubat ini perlu bagi mengelak masalah hipoglisemia dan ia hanya boleh dilakukan dengan nasihat doktor.

Bagi pesakit yang mengambil insulin, dos dan waktu suntikan perlu diubah mengikut arahan doktor berdasarkan ujian paras gula dalam darah pada permulaan puasa. Insulin pula perlu disuntik 15 minit sebelum azan Maghrib. Namun insulin generasi baru (yang bertindak segera) boleh disuntik sejurus sebelum berbuka. Dalam keadaan ini, suntikan insulin dibolehkan dan ia tidak akan membatalkan puasa.  Berbeza dengan gastrik, pesakit kencing manis tidak digalakkan berbuka dengan kurma kerana kandungan glukosnya (gula ringkas) sangat tinggi. Jika mahu makan, pilih kurma kering (kerana kurma basah bersalut gula), bersaiz kecil dan hadkan kepada dua biji saja. Pesakit perlu makan secara bersederhana, tidak terlalu kenyang dan minum banyak air masak.

Pilih makanan berkarbohidrat yang lambat mengeluarkan tenaga seperti nasi (beras perang), pasta, oat, gandum, barli, kekacang serta sayur-sayuran. Karbohidrat daripada nasi putih cepat ditukarkan ke bentuk gula (tenaga) dan jika mahu makan nasi putih, pastikan kuantitinya sama banyak dengan sayur yang berfungsi sebagai penapis untuk melambatkan proses penukaran karbohidrat ke gula.  Buah-buahan tempatan yang ranum dan manis seperti tembikai (merah atau kuning), nanas, cempedak, rambutan, nangka dan manggis perlu dikurangkan kerana kandungan gulanya tinggi. Gantikan dengan buah yang kurang manis seperti epal, plum, oren dan anggur.  Selagi mengamalkan corak pemakanan 3-S iaitu sederhana, seimbang dan sihat, semua orang boleh menjalankan ibadat puasa dengan baik. Antara panduan umum yang berguna:
  • Melambatkan sahur.
  • Menyegerakan berbuka. Mulakan dengan makanan yang ringan seperti kurma, air kosong, buah-buahan atau sup rendah lemak. Elak mengambil air manis atau kuih-kuih manis.
  •  Makan secara bersederhana ketika berbuka dan pada waktu malam.
  • Kurangkan makan makanan manis ketika berbuka atau sahur.
  • Banyakkan minum air kosong.
  • Mengelak makan berlebihan ketika berbuka dan pada waktu malam.
  • Melakukan aktiviti fizikal ringan ketika berpuasa tidak mendatangkan kemudaratan.
  • Ambil lauk atau juadah rendah lemak, kurang pedas atau berempah.
  • Elak minum minuman berkafein ketika berbuka. Bagaimanapun, kopi atau teh boleh diambil selepas solat Tarawih, bukan ketika berbuka.
  • Makan secara sederhana, secukupnya dengan melebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan. Sebaik-baiknya, berhenti makan sebelum kenyang.
Petikan ini diambil dari artikel Harian Metro (Norlaila Hamima Jamaluddin, 2011) norlaila@hmetro.com.my

Comments

Popular posts from this blog

Bila kerja bertimpa-timpa

  Beberapa minggu lagi saja (mungkin lagi 2 minggu rasanya) sesi kuliah akan membuka tirai. Maknanya bagi saya dan rakan yang lain dalam 1-2 bulan ini berbagai amanah tugas perlu diselesaikan, terutamanya berkaitan pendokumentasian bahan-bahan kerja dan pencapaian pada semester lepas. Pada masa ini juga, berbagai bengkel bagi pemantapan kerjaya akan diadakan oleh pihak berkaitan.    Pada masa yang sama kena pandai-pandai cari masa untuk menulis bahan penulisan ilmiah (atau dalam bahasa mudah journal). Kadang nampak luaran macam santai saja kerjaya pensyarah ini, tapi hakikatnya banyak beban tugasan yang perlu dilaksanakan disamping amanah hakiki mengajar anak bangsa. Untuk mingu ini saya baru sahaja menyiapkan tugasan E-TP, E-CF, OBE, dan bahan mengajar bagi semester hadapan. 4 kelas tutorial dan 1 kelas amali.    On going sedang menyiapkan QBS template. Sudah ini dinamakan amanah, jom kita enjoy dengan apapun tugasan yang diamanahkan pada kita. Mo...

Pekan Rabu, Kedah

Saya sukakan Pekan Rabu yang terdapat di negeri Kedah (eh! tempat lain ada pekan rabu ke ekk?). dari kecil, remaja, anak dara, mak dara sampai bila-bilapun Pekan Rabu tetap di hati. Actually Pekan Rabu cuma merupakan sebuah bangunan yang didirikan untuk para peniaga tempatan (terutama Melayu, memang majoriti Melayu pun) berniaga, memasarkan hasil jualan mereka. Kebanyakkan hasil jualan adalah terdiri daripada makanan, seperti kuih-muih lama (traditional), ikan pekasam (famous di sini), jeruk buah-buahan, baju melayu (jahitannya sangat kemas), baju kurung, barangan kraftangan dan pelbagai lagi. Hem! bak kata pepatah baru, "macam-macam ada!". Bercerita tentang kepuasan hati pelanggan. Sebagai pelanggan yang sangat cerewet (sayalah tu...). Bagi makanan traditional, dodol yang dijual adalah yang terbaik bagi saya (bagi zon utara). Lemak santannya, manis gula kabungnya, lembut teksturnya, memang tak boleh nak lawan. Kuih-muih traditional yang lain pula seperti putu beras, ba...

citer hari ke 6 raya 2011

Masih dalam mood raya lagi ke?? Jujur raya kali ini saya cuma merasakan kemeriahan raya pada malam raya sahaja, di mana dikala itu suara takbir raya kedengaran sayu diperdengarkan di stesen2 TV dan radio.  Bila pulang ke kampung (ala... sepelaung je dari rumah saya, adalah dalam anggaran 45 minit jauh perjalanan dari umah saya ke kampung).  Memang terasa pilu, sebabnya sepanjang perjalanan kami melewati kawasan perumahan, jalan utama (highway) dan kemudiannya menyusuri kawasan perkampungan (yang dah tentunya siap terpasang lampu2 panjut dan ada surau dan masjid yg mengalunkan takbir); peh! time tu memang rasa cam naak meraung menyembah kaaki ayahbonda. Keesokkan harinya, di pagi raya, kemeriahan itu semakin terhakis.  Don't know why? padahal rumah ibu di kampung seberang jalan aje, tersergam masjid.  Sepatutnya kemeriahan itu amat terasa.  Tapi tidak, tidak bagi saya.  Sebab pertamanya ialah biarpun masjid cuma seberang jalan aje dari rumah saya, suar...